Komunite Seni Jalan Telawi

::ratakan padang::

Name:
Location: Jalan Telawi, Bangsar Baru, Kuala Lumpur, Malaysia

Monday, May 08, 2006

'Lelaki Komunis Terakhir' dilarang tayangan

PETALING JAYA: Filem dokumentari kontroversi Lelaki Komunis Terakhir arahan Amir Muhammad tidak akan ditayangkan minggu depan di pawagam tempatan berikutan larangan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri pada Jumaat lalu.

Satu sumber di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) memberitahu mStar Online hari ini, surat rasmi telah dikirim kepada Red Films, syarikat pengeluar filem 90 minit itu, sekitar jam 4 atau 5 petang Jumaat lepas. Larangan tersebut dipercayai akibat suara-suara bantahan daripada beberapa pihak seperti dilaporkan oleh sebuah akhbar berbahasa Melayu minggu lepas. mStar Online difahamkan, larangan tersebut meliputi "penayangan, pempameran, pengedaran dan penyebaran" filem yang mengisahkan perjalanan kehidupan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng. Filem dokumentari semi-muzikal ini turut memuatkan lagu-lagu selain wawancara dengan beberapa pihak, termasuk pejuang-pejuang gerila bersenjata ini yang kini menetap di Betong, selatan Thailand.

Surat itu yang ditandatangani oleh seorang pegawai di Bahagian Kawalan Filem kementerian terbabit dibuat berdasarkan Akta Penapisan Filem 2002. Arahan itu juga, menurut KHEDN, dibuat dengan alasan "mengambil kira kepentingan awam."
Lelaki Komunis Terakhir, atau judul Inggerisnya The Last Communist yang dihasilkan dengan bajet RM50,000 itu pada asalnya dijadualkan ditayangkan di tiga buah pawagam GSC di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang mulai 18 Mei ini. Sementara satu tayangan amal akan diadakan di Ipoh pada 19 Mei. mStar Online difahamkan semua tayangan ini akan dibatalkan.


[berita dari mstar.com.my]

0 Comments:

Post a Comment

<< Home