Komunite Seni Jalan Telawi

::ratakan padang::

Name:
Location: Jalan Telawi, Bangsar Baru, Kuala Lumpur, Malaysia

Monday, May 15, 2006

Kenyataan Tentang Filem Lelaki Komunis Terakhir

Lelaki Komunis Terakhir : Jangan Halang Perkembangan Bakat Muda

Kami seperti bertandatangan di bawah yang bersekutu bagi Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT) berasa gusar dengan perkembangan mutakhir dunia perfileman tanahair. Kebimbangan ini adalah berasaskan sikap prejudis dan “kecil jiwa” oleh sesetengah pihak sehingga boleh menganggu perkembangan dunia perfileman kita

Kami berasa kecewa dengan pembatalan penayang filem semi-dokumentari “Lelaki Komunis Terakhir” (LKT) oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) bebrapa minggu lalu. Sebelum itu berlaku pula pemberhentian tayangan filem yang dianjurkan oleh Kakikino, Atma dan Finas dipercayai akibat tekanan “politik” yang dimainkan oleh satu-dua orang wartawan di badan media.

Keputusan menghentikan atau membatalkan penayangan filem tersebut bolehlah disifatkan sebagai gangguan dan campur tangan secara biadap di dalam kerja-kerja kreatif. Bahkan tindakan tersebut hanya berasaskan tafsiran moral yang cetek bukan pertimbangan jujur ilmu filem.

Dalam keadaan industri filem yang kurang memberangsangkan, tindakan ini dirasakan boleh menghalang perkembangan pengarah-pengarah filem muda untuk menafsir dan menampilkan corak serta bingkai kotemporari dunia filem tempatan. Sejarah membuktikan bahawa tekanan atas nama “moral” dan “fakta” tidak lebih hanya permukaan nipis kuasa politik yang lebih kejam dan mengongkong. Keadaan seumpamanya pernah berlaku di bawah rejim Hitler, Mao Tze Tung sampailah kepada Soeharto yang mana industri filem negara-negara berkenaan lumpuh pada ketika itu.

Diakui komunis, dalam beberapa sudut tertentu telah memberikan banyak kisah pahit dan duka kepada masyarakat Malaysia, namun ia merupakan salah satu titik sejarah yang tidak boleh dipadamkan begitu sahaja. Titik sejarah inilah yang telah membangunkan Malaysia kini.

Filem LKT merupakan sebuah semi-dokumentari yang bergantung kepada pengakuan dan wawancara dengan sumber – sumber yang dipaparkan di skrin, bukan genre fiksi yang dibuat-buat dan juga bukan propaganda ideologi komunis yang telah menemui zaman malapnya pada tahun 90-an. Pada alaf ini kami percaya audien kita mampu menilai kebenaran atau kebatilan suatu fakta dan cerita

Adalah malang usaha mendokumentasikan secarik sejarah negara sebagaimana yang telah dilakukan Amir Muhamad dicekang semata-mata kerana sentimen yang tidak berasas. Secara ringkasnya membuat filem tentang seseorang berpengaruh tidak boleh disamakan dengan cuba memartabatkan seseorang. Contohnya, filem tentang Hitler, bukanlah hendak memujinya, tetapi menunjukkan kompleksiti seseorang manusia yang mempunyai tampilan yang berbeza mengikut keadaan. Usaha menerbitkan LKT bolehlah juga dilihat dari sudut sedmikian.

Penghalangan penayangan LKT juga tidak memadam prejudis dan kebencian rasis di negara kita, sebaliknya hanya seperti menyimpan dan menyembunyikan masalah dan reality sebagaimana yang diamalkan oleh regim lama.

Bagi kami penayangan filem LKT sedikit sebanyak akan merungkai dan membuka taboo dalam masyarakat, khususnya kaitan antara sensitiviti cina-komunis dan lain-lain.

Oleh itu kami berharap agar tayangan fillem semi-dokumentari itu dibenarkan untuk umum dan biarkan masyarakat menilainya untuk menjadikan bangsa Malaysia ini lebih cerdik dan yakin diri menghadapi dunia.

Semoga tuhan menunjukkan jalan …Amin .

Penanda Tangan

Hasmi Hashim – Penulis, Pelukis (jurucakap – 019-2360608)
Amir Sari – Aktivis Politik
MR Mustaqeem – Penulis & Graduan Timur Tengah
Hasrul Muhaimin Hasbi – Pengarah Operasi, Open Dialogue Center
Shahrizan Abdan – Penulis Karya Kraetif
Clarissa Lee – Penulis
Khairul Anam Che Menteri – Graduan Perundangan / Penulis
Ammar Ghazzali – Graduan Ekonomi
Mohamad Ikmal – Pelajar Perundangan
Farhan Effendi – Graduan Timur Tengah
Sam Ahmad – Penulis & Web master
Dhani Ahmad – Penulis & Aktivis

Monday, May 08, 2006

'Lelaki Komunis Terakhir' dilarang tayangan

PETALING JAYA: Filem dokumentari kontroversi Lelaki Komunis Terakhir arahan Amir Muhammad tidak akan ditayangkan minggu depan di pawagam tempatan berikutan larangan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri pada Jumaat lalu.

Satu sumber di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) memberitahu mStar Online hari ini, surat rasmi telah dikirim kepada Red Films, syarikat pengeluar filem 90 minit itu, sekitar jam 4 atau 5 petang Jumaat lepas. Larangan tersebut dipercayai akibat suara-suara bantahan daripada beberapa pihak seperti dilaporkan oleh sebuah akhbar berbahasa Melayu minggu lepas. mStar Online difahamkan, larangan tersebut meliputi "penayangan, pempameran, pengedaran dan penyebaran" filem yang mengisahkan perjalanan kehidupan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng. Filem dokumentari semi-muzikal ini turut memuatkan lagu-lagu selain wawancara dengan beberapa pihak, termasuk pejuang-pejuang gerila bersenjata ini yang kini menetap di Betong, selatan Thailand.

Surat itu yang ditandatangani oleh seorang pegawai di Bahagian Kawalan Filem kementerian terbabit dibuat berdasarkan Akta Penapisan Filem 2002. Arahan itu juga, menurut KHEDN, dibuat dengan alasan "mengambil kira kepentingan awam."
Lelaki Komunis Terakhir, atau judul Inggerisnya The Last Communist yang dihasilkan dengan bajet RM50,000 itu pada asalnya dijadualkan ditayangkan di tiga buah pawagam GSC di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang mulai 18 Mei ini. Sementara satu tayangan amal akan diadakan di Ipoh pada 19 Mei. mStar Online difahamkan semua tayangan ini akan dibatalkan.


[berita dari mstar.com.my]