Komunite Seni Jalan Telawi

::ratakan padang::

Name:
Location: Jalan Telawi, Bangsar Baru, Kuala Lumpur, Malaysia

Wednesday, February 22, 2006

Kartun: KsJT bantah tutup akhbar

Komunité Seni Jalan Telawi (KsJT) membantah tindakan kerajaan melalui Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) yang membungkam surat khabar Sarawak Tribune, selain tindakan tersebut juga boleh dilihat mempunyai motif politik terutama apabila pilihan raya negeri Sarawak dijangka tidak lama lagi.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di Kuala Lumpur bertarikh 9 Februari 2006 (Rabu), KsJT atau dikenali juga sebagai kumpulan “Jalan Telawi” berkata, langkah “berlebihan" (over-reaction) kerajaan akan turut mengorbankan sejumlah pekerja Sarawak Tribune yang tidak bersalah.

“Kerajaan melalui KDN seharusnya tidak turut hangus dalam kemarahan dan sentimen semasa sungguhpun terdapat desakan daripada beberapa menteri kabinet, parti politik dan individu tertentu untuk membungkam akhbar berkenaan.

Penutupan Sarawak Tribune harus dilihat akan hanya merugikan proses mencapai kematangan dan pertanggungjawaban dalam tugas kewartawanan dan kebebasan media umumnya,” kata kenyataan itu lagi.

Pada 14 Februari, sebuah akhbar harian berbahasa Mandarin, Guang Ming Daily digantung permit penerbitannya selama dua minggu. Penggantungan lesen Sarawak Tribune dibuat kerajaan dalam satu mesyuarat kabinet yang dipengerusikan perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi 8 Februari lalu (Rabu).

Pihak pengurusan media yang diwakili oleh pengarah urusannya, Idris Buang dan ketua pengarang, Toman Mamora itu juga dilaporkan bertemu dengan Abdullah sendiri di Putrajaya sehari sebelum itu.

KsJT menyatakan, menyiarkan semula (republication) bahan-bahan yang dianggap “kontroversi” atau “sensitif” ada kalanya masih wajar dalam konteks menjelaskan sesuatu isu terdahulu.

Bagaimanapun, akhbar Denmark Jyllands-Posten juga dikritik oleh komunite ini. “Kami tegaskan, menipu dan memutar belit fakta atas tujuan apa sekalipun sama sekali tidak sejajar dengan makna kebebasan media,” tambah kenyataan itu lagi.

KsJT ialah sebuah perkumpulan karyawan muda yang terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti penulis, aktivis, pelukis, wartawan, peguam dan agamawan.

Kumpulan ini juga aktif membincangkan beberapa isu-isu selingkar media, intelektual, politik semasa, agama, falsafah dan kebudayaan sejak lebih tiga tahun lalu. —Jinnie Lee [Sariberita]

0 Comments:

Post a Comment

<< Home