Komunite Seni Jalan Telawi

::ratakan padang::

Name:
Location: Jalan Telawi, Bangsar Baru, Kuala Lumpur, Malaysia

Friday, September 20, 2002

Pendiri utama

Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT) bermula secara tidak rasmi sewaktu pergolakan politik nasional mencapai puncaknya, era Reformasi 1998-2001. Ramai siswa, aktivis muda dan intelektual duduk-duduk berdiskusi di beberapa lokasi di Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Gombak.

Renungan kembali peristiwa-peristiwa politik ini mendorong beberapa aktivis muda, hampir semuanya usia 20-an, membentuk kelompok diskusi buku, apresiasi sastera seni, perdebatan falsafah dan agama, selain perbahasan awam isu-isu politik semasa.

Walau ramai lagi yang terbabit dalam arus ini, beberapa nama ini dianggap sebagai pendiri-pendiri utama KsJT, sejak pertengahan 2002:

Aktivis, penulis dan penggiat seni Hasmi Hashim mendapat pendidikan tinggi di Institut Teknologi Mara (ITM), Shah Alam sebelum menyumbang rencana-rencana kritik seni dan sastera di Berita Harian pada 2000.

Wartawan, penterjemah dan editor buku M R Mustaqeem menerima pendidikan syariat di sebuah universiti di Jordan sebelum terlibat aktif dengan dunia penerbitan bersama Berita Keadilan (2001-2002), majalah seni budaya Siasah (2002-2003) dan laman web JalanTelawi.com (2005).

Aktivis, penulis sambilan dan penggerak anak muda Amir Sari menimba pengalaman kampus sepanjang era reformasi di Universiti Putra Malaysia (UPM) sebelum bertugas sebagai koordinator program di Institut Kajian Dasar (IKD).

Wartawan, aktivis media bebas dan penulis kolum Fathi Aris Omar bergiat aktif dalam gerakan mahasiswa Islam sebelum menulis untuk akhbar pembangkang, majalah dan akhbar-akhbar harian utama, berbahasa Melayu dan Mandarin, sebelum menyertai Malaysiakini.com (1999-2001) dan kini bertugas untuk satu projek penerbitan berbahasa Melayu dalam talian.

Kumpulan anak muda ini tidak menetapkan matlamat dan struktur khusus --- ia bukanlah sebuah organisasi rasmi. KsJT dibangunkan dengan semangat berfikir kritis (critical inquiry) dalam hampir semua bidang kehidupan.

Bosan dengan kekangan budaya, politik dan sosial di sekeliling mereka, teman-teman KsJT menolak proses indoktrinasi yang sering disumbatkan oleh generasi tua, parti-parti politik, institusi rasmi dan pendapat-pendapat umum.

KsJT bukan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) seperti lazim disebut di negara kita; aktivismenya lebih cenderung kepada gerakan kebudayaan dan pemikiran tetapi fokusnya tetap pada idealisme kebebasan, demokrasi dan hak asasi --- idealisme yang membuka medan wacana dan aliran idea.

Komunite ini percaya pada komitmen anak muda untuk mendepani zaman dan membuka diri masing-masing pada kemungkinan-kemungkinan baru yang ditawarkan oleh zaman ini, zeitgeist.

Sesiapa sahaja dengan semangat ini boleh membina kelompoknya sendiri atau bergabung dengan kami --- tiada komitmen lain kecuali pada akal, idealisme dan idea.